Jabatan Latihan Mengajar & Latihan Industri

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Pengenalan

Agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia. Sehubungan itu, guru-guru seharusnya memiliki kualiti Standard Guru Malaysia seperti berikut: mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan.

Justeru, Program Latihan Mengajar yang dijalankan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijelmakan dalam Falsafah Pendidikan Guru sebagai komponen penting dalam kurikulum program pendidikan guru. Guru pelatih Fakulti Pendidikan Teknikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia wajib menjalani latihan mengajar setelah memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh universiti. Program Latihan Mengajar ini menawarkan peluang pengalaman mengajar di tempat kerja kepada guru pelatih. Melalui program ini, guru pelatih dapat mengaplikasi pengetahuan dalam amalan sebenar, dan meningkatkan kompetensi kemahiran mengajar. 

Program Latihan Mengajar ini melibatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolahsekolah. Semua pihak diharap dapat bekerjasama dalam membangunkan profesionalisme guru pelatih berdasarkan kompetensi Standard Guru Malaysia.

Matlamat dan Objektif

Latihan mengajar memberi peluang kepada pelajar mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar di dalam kelas dan sekolah atau institusi pendidikan. Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta permuafakatan antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sekolah, politeknik, kolej komuniti  dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

 Objektif Latihan Mengajar ini adalah seperti berikut:

  • Menyepadukan teori  dengan amali pengajaran dan pembelajaran.  
  • Mengaplikasikan pelbagai strategi, kaedah, teknik dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
  • Merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
  • Mengenal pasti dan menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran.
  • Mengoptimumkan penggunaan sumber teknologi dalam pembestarian proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Mempamerkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
  • Menguasai kemahiran pemudahcaraan dan komunikasi.
  • Menguasai pelbagai strategi, perancangan dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum.
  • Memupuk sikap positif, meningkatkan jati diri, menghayati dan mengamalkan nilai profesionalisme keguruan.
  • Memperkembang potensi diri sebagai pendidik dengan mengamalkan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek tugas
Follow us